Monday 30 September 2013

SUKAN TAHUNAN SEKOLAH 2013

Temasya Sukan Tahunan Sekolah Kebangsaan Temenggong Abdul Rahman 2 telah berlangsung dengan jayanya di padang Sekolah Kebangsaan Ngee Heng bermula jam 8.00 pagi dan berakhir pada jam 12.30 tengahari diiringi dengan tepukan dan sorakan.
Temasya sukan dimulakan dengan perbarisan rumah-rumah sukan , diikuti dengan ucapan perasmian yang disampaikan oleh Pegawai Pejabat Pendidikan Daerah, En Jamaluddin. Selepas upacara menaikkan bendera kejohanan dan ikrar kejohanan oleh wakil murid , acara kejohanan bermula. Pelbagai acara kejohanan, seperti larian 100m dan 4X100m bagi kategori lelaki  bawah 10, 11 dan 12 tahun, telah diadakan. Acara kejohanan diakhiri dengan acara tarik tali.
Secara keseluruhannya, Rumah Kuning telah mendahului rumah-rumah sukan yang lain dan muncul sebagai johan. Naib johan pula dimenangi oleh Rumah Merah. Bagi acara perbarisan, Rumah kuning berjaya dianugerahkan tempat pertama termasuk anugerah maskot terbaik manakala Rumah Hijau  memenangi tempat kedua.

Tuesday 17 September 2013

PENUTUP BULAN KEMERDEKAAN

13 September 2013, Jumaat telah berlangsung Majlis Penutup Bulan Kemerdekaan Peringkat Sekolah di Dewan Sri Temenggong, SK Temenggong Abdul Rahman 2. Majlis telah bermula pada jam 7.40 pagi.
Majlis kemudiannya telah diisi dengan dengan pelbagai persembahan pelajar daripada pelbagai kaum. Walaupun terdapat beberapa masalah teknikal namun majlis tetap diteruskan dengan ucapan penutup oleh Pn. Norpisah Bt Ibrahim, Guru Besar SK Temenggong Abdul Rahman 2. Majlis diakhiri dengan semua guru berdiri diatas pentas manakala semua murid berdiri untuk bersama-sama menyanyikan lagu Keranamu Malaysia, Lagu Jalur Gemilang dan lagu Tanggal 31.

Wednesday 11 September 2013

MAJLIS MOHON RESTU

Satu majlis ringkas untuk calon-calon UPSR telah diadakan pada 9 September 2013 bagi mempersiapkan diri mereka dari segi mental dan spritual untuk menghadapi UPSR yang menjelang keesokan harinya.

Bertempat di Dataran Kejat, calon-calon ini bersalam-salaman dengan guru-guru mereka yang telah sekian lama menyumbang bakti ilmu kepada mereka selama mereka berada di sekolah.
Restu dan doa dipohon kepada guru-guru agar segala ilmu dihalalkan. Semoga dengan semangat dan iringan harapan dari guru-guru, akan mudahlah murid-murid ini menjawab soalan-soalan yang dikemukan kelak.


MAJLIS SOLAT HAJAT UPSR 2013

Majlis Solat Hajat dan Bacaan Yassin Calon UPSR telah dirancang dengan harapan dapat memberi doa dan restu serta keredaan kepada para calon peperiksaan yang bakal menduduki peperiksaan UPSR. Usaha ini merupakan ikhtiar terakhir para pelajar setelah sekian lama berusaha dengan gigih untuk mencapai kecemerlangan dalam akademik. Program ini juga bertujuan melatih pelajar menjadi insan seimbang bukan sahaja dari segi intelek dan jasmani malahan aspek rohani.
Antara objektif yang ingin dicapai melalui program sebegini adalah
a) mendapat doa dan keredaan daripada Allah S.W.T
b) para calon dapat membuat persediaan yang mantap dari segi emosi dan rohani untuk menghadapi peperiksaan.
c) para calon dapat memperolehi motivasi dan suntikan semangat supaya lebih berkeyakinan diri untuk berjaya pada saat-saat akhir sebelum menduduki peperiksaan.


Tuesday 3 September 2013

LATIHAN KEBAKARAN

Latihan kebakaran telah pun dijalankan di SK Temenggong Abdul Rahman 2 pada 30 Ogos 2013. Masa yang di ambil oleh warga STAR 2 untuk mengosongkan kawasan sekolah untuk berkumpul di padang pada sesi latihan kebakaran kali ini adalah lebih kurang 8 minit, catatan masa lebih baik berbanding latihan kebakaran yang di lakukan pada tahun lalu (2012).

Objektif :
1. Murid dapat menyelamatkan diri jika sekiranya berlaku kebakaran .
2. Murid dapat berwaspada sentiasa dan berhati-hati dengan kebakaran.
3. Murid dapat mengikuti laluan untuk menyelamatkan diri ketika berlaku kebakaran
Prosedur :
1. Guru membunyikan loceng amaran kebakaran
2. Murid keluar dari kelas masing-masing secara teratur tetapi pantas mengikut laluan yang telah ditetapkan.
3. Murid berkumpul di luar bangunan sekolah, iaitu di depan sekolah / di padang (kawasan lapang) mengikut plan kebakaran sekolah masing-masing.
4. Guru menerangkan tujuan latihan kabakaran kepada murid.

5. Murid balik ke kelas masing-masing.


Friday 23 August 2013

PROGRAM KEM SEKOLAH

Program kem bakat sukan ini telah dijalankan pada 21 dan 22 Ogos 2013 melibatkan 40 orang murid -murid yang terpilih sahaja dari Tahun 4 dan Tahun 5. Antara objektif kem sukan ini adalah:

  1. Meningkatkan keberkesanan pengurusan kelab sukan dan pelaksanaan aktiviti sukan yang mempunyai unsur keseronokan.
  2. Menerapkan nilai-nilai murni dan kepimpinan melalui aktiviti sukan.
  3. Mewujudkan integrasi kaum melalui penyertaan dalam sukan.
  4. Menerapkan kemahiran berfikir secara kritis, kretif dan inovatif dalam kalangan murid.
  5. Meningkatkan kesedaran murid terhadap kepentingan aktiviti sukan dalam mengamalkan gaya hidup yang sihat dan inovatif.

MERDEKA RAYA 2013

Program yang digabungkan dengan dua(2) sambutan iaitu Sambutan Ulang Tahun Kemerdekaan dan Sambutan Aidilfitri telah dilaksanakan serentak pada 23 Ogos 2013. Program ini melibatkan seluruh warga Sekolah Kebangsaan Temenggong Abdul Rahman 2. STAR 2 telah berjaya mengadakan sambutan Merdeka Raya dengan cara yang penuh sederhana. Walaupun sudah berada di penghujung syawal namun sambutan yang telah dirancang bersama dengan Guru Besar, Ahli Jawatankuasa Sambutan dan semua warga sekolah akhirnya sambutan Merdeka Raya berjaya juga diadakan dengan suasana yang penuh meriah sekali.
Program Merdeka raya yang telah diadakan di Dewan STAR 2 dimeriahkan dengan suasana Hari Raya Aidil Fitri dan suasana ulang tahun kemerdekaan. Antara acara yang diadakan ialah nyanyian lagu-lagu patriotik, dan jamuan hari raya. Program tersebut berakhir pada jam 10:30 pagi.Pihak pengurusan sekolah  jawatankuasa sambutan merakamkan jutaan terima kasih kepada semua yang mendorong ke arah kejayaan program ini.

Tuesday 20 August 2013

Majlis Khatam Al-Quran dan Bantuan Raya Anak Yatim

Majlis Khatam Al-Quran sempena Ramadhan tahun ini telah berlangsung pada 1 Ogos 2013 yang lepas . Majlis bermula dengan bacaan doa, Asma ul Husna, seterusnya bacaan Al-Quran juz terakhir oleh qari dan qariah dari tahun lima dan enam . Antara objektif majlis ini diadakan adalah:

1) Melahirkan pelajar yang membaca Al Quran bertajwid
2) Mentarbiahkan pelajar dengan adab-adab membaca Al Quran.
3) Memupuk semangat membaca Al Quran secara tadwir.
4) Menghargai kumpulan tadarus Al Quran dengan memberikan hadiah
5) Mendidik jiwa membantu saudara seagama dengan menghulurkan sumbangan wang.


Majlis kemudiannya disambung dengan doa penutup dan nasyid yang dipersembahkan oleh tahun enam, sebelum Majlis Khatam Al-Quran itu ditutup oleh ucapan Guru Besar.

Majlis kemudiannya diteruskan dengan penyampaian bantuan baju raya dan duit raya kepada anak yatim dan akhir sekali, yang paling dinanti oleh murid-murid ialah pemberian duit sekolah kepada semua murid. 

Thursday 25 July 2013

Tuesday 16 July 2013

HARI TERBUKA DAN HARI KANTIN

Untuk Hari Terbuka dan Hari Kantin, ia telah berlangsung pada 4 Julai bersamaan hari Khamis. Para ibu bapa telah hadir untuk bertemu empat mata dengan guru kelas untuk mengetahui prestasi anak - anak mereka di sekolah, di samping itu kelab dan persatuan mengadakan jualan makanan di gerai yang terletak di garaj pentadbir. Tidak ketinggalan juga pameran dari pihak luar seperti Petro Sains dan banyak lagi NGO turut serta dalam pameran ini. Pameran dan jualan diteruskan sehingga hari Ahad. Para pelajar memanfaatkan masa ini untuk menimba pengalaman berniaga di samping menambah duit persatuan. Tahniah untuk semua yang terlibat. 

PERTANDINGAN MEMASAK ANTARA UNIT BERUNIFORM (CHEF CILIK)

Pertandingan memasak antara Unit Beruniform adalah antara aktiviti Kokirukulum  yang dirancang bagi memahirkan murid-murid  dengan kemahiran memasak. Diharapkan pengalaman yang mereka dapat dapat digunakan dalam kehidupan seharian. Disamping itu ianya memberikan satu keinsafan diri pada diri masing-masing bagaimana jerih perit ayah dan ibu mereka menyediakan makanan kepada mereka.

PROGRAM KECEMERLANGAN TAHUN 6 2013 ( KAISARA)

KAISARA
PROGRAM KECEMERLANGAN UPSR 2013

KAISARA
 K - Kecemerlangan
 A - Akademik
 I - Intelek
 S - Sahsiah
 A - Agenda
 R - Raih
 A - 5A

KAISARA diambil sedikit daripada perkataan KAIZEN. Kaizen bermakna peningkatan yang berterusan untuk diri atau organisasi demi mencapai tahap kecemerlangan yang lebih tinggi dari semasa ke semasa dalam segala usaha yang dilakukan secara konsisten.Program ini telah dijalankan pada 20 hingga 22 Jun 2013 di SK Temenggong Abdul Rahman 2.
PENGISIAN KAISARA

Terdiri daripada 4 komponen utama:
 Akademik
 Kerohanian
 Emosi
 Jasmani


Akademik
 Kelas Tambahan Harian & Cuti Sekolah
 Latih Tubi
 Kelas Intensif


Kerohanian
 PAFA Temanku
 Kem Kerohanian
 Bacaan Yasin
 Solat Hajat


Jasmani
 Setiap murid berpeluang menonjolkan bakat 
 Berkebolehan, aktif, serta mampu bersaing 
 Dorongan, motivasi dan latihan 


Emosi/Motivasi
 Persediaan awal menghadapi UPSR/Seminar Bijak Belajar
 Perjumpaan Ibu Bapa Bersama Guru
 Teknik Menjawab Soalan
 Kem Motivasi
 Mutiara Kata
 Imbuhan Jaya

Sunday 9 June 2013

VIDEO HARI GURU 2013



PERKHEMAHAN KOKURIKULUM

Unit Kokurikulum STAR 2 telah menganjurkan satu program perkhemahan untuk unit-unit beruniform  seperti Unit Pengakap, Kadet Remaja Sekolah, dan PBSM.  Seramai 90 orang murid daripada tahun 4, 5 dan 6 yang mengikuti program perkhemahan ini.

Antara objektif diadakan perkhemahan ini adalah:
1. untuk memupuk semangat kerjasama dan yakin diri dalam diri peserta.
2. untuk memupuk sikap berdikari dan bertanggung jawab dalam diri peserta.
3. untuk menjalin hubungan baik sesama rakan dan guru di STAR 2.

Program ini telah berjaya dilaksanakan pada17 dan 18 Mei 2013 di Pusat Kokurikulum Tasek Utara. Peserta perkhemahan berpeluang memasang dan mendirikan khemah dengan jayanya.Acara penutupan program ini telah disempurnakan oleh GPK Pentadbiran iaitu Pn Rafiah Bt Abdullah  pada pukul 4.00 petang, 18 Mei 2013.  Beliau telah berbesar hati meluangkan masa dan menyampaikan hadiah-hadiah dan sijil kepada para peserta perkhemahan.

SAMBUTAN HARI GURU 2013

Majlis sambutan hari guru peringkat sekolah telah diadakan pada 16 Mei 2013 yang lalu. Majlis dimulai dengan jamuan sarapan pagi di kantin sekolah diikuti dengan perlawanan futsal antara murid dan guru diikuti dengan pertandingan sukaneka di antara guru-guru yang diadakan di dalam dewan.Kehadiran guru-guru ke Dewan diiringi dengan paluan kompang. Majlis kemudiannya diteruskan dengan ucapan hari guru oleh wakil murid, pembacaan perutusan Menteri Pelajaran oleh GPK Pentadbiran dan pembacaan perutusan pengarah oleh GPK Hal Ehwal Murid, nyanyian lagu “Guru Malaysia” dan pembacaan ikrar oleh guru-guru. Selain dari itu acara memotong kek dan cabutan bertuah untuk guru-guru turut diadakan. Majlis kemudiannya diserikan dengan persembahan oleh murid - murid dan diakhiri dengan penyampaian hadiah kepada guru-guru yang memenangi acara sukaneka yang diadakan.

Wednesday 1 May 2013

JOHAN HOKI MSSD JOHOR BAHRU

Tahniah diucapkan kepada pasukan Hoki Lelaki STAR 2 kerana telah berjaya meraih kejayaan apabila muncul sebagai johan dalam kejohanan Hoki MSSD Johor Bahru.Pada perlawanan akhir tersebut  telah menemukan STAR 2 dan SK Mohd Khir Johari.  Dalam perlawanan akhir tersebut, pasukan STAR 2  berjaya menandingi kehebatan SK Mohd Khir Johari  apabila menang dengan jaringan 3 - 0 . 

MERENTAS DESA

Acara Merentas Desa STAR 2 telah berlangsung pada 20 April 2013.Murid dan guru telah hadir ke sekolah seperti waktu persekolahan biasa dan berkumpul di Dataran Kejat SATR 2 dalam barisan rumah sukan masing-masing seperti Rumah merah, Rumah kuning, Rumah  biru dan Rumah hijau.Guru rumah sukan mengambil kehadiran pelajar dan mengedarkan nombor bagi setiap pelajar.En. Wan Kamel  selaku guru sukan menerangkan prosedur merentas desa dan langkah - langkah keselamatan sebelum memulakan acara. Pada jam 8.10 pagi semua murids dan guru  telah membuat aktiviti regangan badan. Acara Merentas Desa dimulakan dengan dengan acara murid Tahun 6 dan ikuti dengan acara murid Tahun 3, 4 dan 5.

Wednesday 20 March 2013

PELANCARAN PROGRAM ANTI DADAH 2013


PERSAHABATAN HOKI ANTARABANGSA

 Buat julung kalinya Pasukan Hoki Sekolah Kebangsaan Temenggong Abdul Rahaman 2 telah mengadakan perlawanan antarabangsa degan St Andrew Junior School Singapura pada  15 dan 16 Mac 2013 perlawanan persahabatan ini  berjaya meningkatkan prestasi pemain-pemain muda bawah 12 tahun pasukan hoki sekolah. Perlawanan telah bermula jam 3:00 petang   di Stadium Hoki Taman Daya,Johor Bahru dengan berakhir keputusan STAR 2 tewas 2-1.Perlawanan yg menarik dan telah menjalinkan hubungan persahabatan rakan antarabangsa Selat Tebrau.

Monday 11 March 2013

PERTANDINGAN KAWAD KAKI

Pertandingan Kawad Kaki Unit Beruniform peringkat daerah Johor Bahru,  telah dijalankan pada hari Sabtu, 9 Mac 2013 bertempat di SK Taman Anggerik. Pertandingan telah bermula seawal jam 7.30 pagi dan berakhir pada jam 4.30 petang.  Objektif pertandingan adalah untuk meningkatkan minat murid untuk bergerak aktif dalam kegiatan kokurikulum terutamanya kawad kaki, menyediakan murid untuk pertandingan kawad kaki peringkat daerah serta mencungkil bakat dan potensi murid-murid.  Diharapkan juga melalui pertandingan ini dapat melahirkan murid-murid yang berilmu pengetahuan, dinamik, berdisiplin, berkeyakinan, berketrampilan, dan bertoleransi khususnya dalam aktiviti kawad kaki serta  tabah menghadapi kehidupan seharian yang penuh dengan cabaran.

KARNIVAL HOKI 6 SEBELAH TERTUTUP JOHOR BAHRU







MESYUARAT AGUNG PIBG

Mesyuarat Agung PIBG ke 37 telah diadakan pada 2 Mac 2013 baru baru ini. Kehadiran ibubapa seramai 100 orang telah melancarkan lagi perjalanan mesyuarat ini. Mesyuarat ini dirasmikan oleh En Abful Rashid yang telah mewakili Yang Berhormat Datuk Nur Jazlan Bin Tan Sri Mohamed. Segala permasalahan dan usul telah diutarakan oleh pihak ibubapa dan dibincang bersama dengan pihak PIBG dan sekolah. Perlantikan AJK baru bagi sesi 2013/2015 juga berjalan dengan lancar. Majlis juga dimeriahkan juga dengan penyampaian cenderahati kepada 7 orang pelajar yang telah mendapat 5A dalam UPSR tahun 2012 serta cabutan-cabutan bertuah kepada hadirin yang hadir. Terima kasih pihak sekolah ucapkan kepada semua ibubapa yang hadir.

Sunday 24 February 2013

KARNIVAL HOKI 6SEBELAH TERTUTUP JOHOR BAHRU

Borang Penyertaan & Syarat Pertandingan boleh terus ke "Download Sini"
Untuk Pengesahan Penyertaan Sila "SMS" ke:-
Jagdev - 012-7965504
Adam - 013-8714554
Tarikh Tutup Penyertaan:-
 20 Februari 2013  
  
.

PENYERAHAN WATIKAH PEMBIMBING RAKAN SEBAYA

Majlis penyerahan watikah PRS ini telah diadakan pada 25 Februari 2013. Majlis ini telah diketuai oleh Hafizzudin Bin Norhisham  selaku ketua Badan Pembimbing Rakan Sebaya untuk sesi tahun 2013 ini.Majlis dimulakan dengan memanggil PRS yang baru dilantik untuk menerima watikah pelantikan.



 

HOKI TERBUKA PASIR GUDANG

 Syabas kepada Cikgu Jagdev dan pasukan hoki sekolah yang telah menunjukkan pencapaian yang menggalakkan dan membanggakan.  Pasukan lelaki sekolah kita telah mendapat tempat ke -4 dalam kejohanan hoki terbuka Pasir Gudang, Johor.

Sambutan Maulidur Rasul 2013M/1434H Peringkat Sekolah

 Sambutan Majlis Maulidur Rasul Peringkat Sekolah dengan tema "Wasatiyyah Tonggak Kesatuan Ummah" telah berlangsung di Dewan Seri Temenggong, SK Temenggong Abdul Rahman 2. Aturcara program dimulakan dengan taklimat oleh Ustaz Anuar Musyaddad diikuti dengan sesi cerama. Sejurus selepas itu, program terakhir iaitu  berselawat berlangsung sehingga jam 9.30 pagi. Majlis sambutan pada tahun ini telah berlangsung dengan jayanya dengan kerjasama semua guru-guru dan murid-murid. Objektif yang paling penting ialah dapat memupuk sifat cinta kepada Nabi Muhammad S.A.W dengan berselawat.Diharapkan dengan majlis ini, dapat terus menyedarkan kita betapa pentingnya kita untuk memupuk rasa cinta terhadap junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W dan melaksanakan segala sunnahnya agar kita mendapat syafaat di hari Akhirat.

LATIHAN KEBAKARAN FASA 1

Monday 28 January 2013

TAKLIMAT LATIHAN KAWAD PENGUNGSIAN BANGUNAN (EVACUATION DRILL FOR SAFE SCHOOL)

Taklimat pengungsian bangunan telah dijalankan pada 23 Januari 2013 bertempat di Dewan Seri Temenggong SK Temenggong Abdul Rahman 2 dan taklimat ini disampaikan oleh En Fairus . Sebenarnya banyak tahap latihan yang perlu dilalui oleh  warga sekolah STAR 2. Ini termasuk ujian masa dan simulasi kebakaran. Namun demikian latihan kali ini akan memberi fokus terhadap ujian masa dalam konteks pengungsian bangunan. Pihak sekolah mengharapkan kerjasama sepenuhnya dari seluruh warga sekolah sama ada pihak pengurusan, guru, kakitangan dan murid. Kejayaan kita memenuhi kehendak latihan akan menggambarkan bahawa STAR 2, benar-benar merupakan sekolah selamat dan warganya mempunyai tahap kepekaan dan persediaan yang tinggi dalam menghadapi kemungkinan risiko kebakaran. Dalam bahasa yang mudah, pengungsian bangunan bererti bahawa para penghuni sesebuah bangunan keluar daripada bangunan berkenaan secara tenang dan teratur mengikut pelan laluan menuju tempat berkumpul dengan hanya membawa dokumen terpenting sahaja. Ringkasnya, sehelai sepinggang. Mengikut piawai latihan kebakaran, masa maksimum yang diambil untuk berkumpul di tempat yang ditetapkan ialah tujuh  minit sahaja. 

ORIENTASI PENGAWAS SEKOLAH, PUSTAKAWAN DAN KETUA KELAS

 Pada 22 Januari 2013 , Orientasi Pengawas telah diadakan di Dewan Seri Temenggong STAR 2 . Orientasi ini diadakan untuk mengeratkan lagi silaturrahim dan dapat saling mengenali di antara guru-guru pengawas,pengawas senior dan pengawas baru. Objektif utama orientasi ini diadakan adalah untuk memberi pendedahan dan pengetahuan kepada pengawas- pengawas sekolah terutama pengawas- pengawas yang baru dilantik, tentang peraturan sekolah, tugas dan tanggungjwab pengawas dan ciri- ciri serta etika seorang pengawas. Pelbagai aktiviti telah dijalankan seperti ‘ice-breaking’, slot (ceramah) dan latihan dalam kumpulan (ldk). Diharap, selepas ini, para pengawas dapat melakukan satu anjakan paradigma dan memberi yang terbaik bukan sahaja untuk sekolah, tetapi untuk agama, bangsa dan negara.

Sunday 20 January 2013

PENYERAHAN WATIKAH PELANTIKAN PENGAWAS SEKOLAH, PENGAWAS PSS,KETUA KELAS DAN PENOLONG KETUA KELAS

21 Januari 2013 -Penyerahan Watikah Pelantikan kepada Pengawas Sekolah, Pengawas Pusat Sumber Sekolah, Ketua Kelas dan Penolong Ketua Kelas telah  disempurnakan oleh Guru Besar Pn Norpisah Bt Ibrahim. Pengawas sekolah merupakan murid - murid yang terpilih di sekolah oleh guru-guru kerana akhlak dan keterampilan yang baik dan cemerlang. Selain itu, pengawas juga di pilih dari kalangan murid - murid yang mempunyai kokurikulum dan akademik yang cemerlang.Dalam majlis ini, Guru Besar mengingatkan pengawas tentang tanggungjawab sebenar seorang pengawas yang perlu mereka pikul selepas ini. Pengawas merupakan pembantu guru-guru dalam membentuk sahsiah diri setiap murid di sekolah. Oleh itu, mereka harus menunjukkan contoh yang baik agar menjadi ikutan warga sekolah yang lain.

PERJUMPAAN BERSAMA IBU BAPA MURID TAHUN 6

Perjumpaan bersama ibu bapa murid Tahun 6 telah diadakan pada 19 Januari 2013 bertempat di Dewan Seri Temenggong SK Temenggong Abdul Rahaman 2. Perjumpaan ini adalah bertujuan bagi memberi taklimat kepada ibu bapa murid tahun 6 tentang sasaran dan membentangkan perancangan yang telah dirancang dan telah dijalankan bagi meningkatkan tahap pengetahuan dan persediaan murid tahun 6 di dalam menghadapi peperiksaan UPSR pada tahun ini.

Perjumpaan ini telah dihadiri oleh semua guru kelas tahun 6, pihak pentadbiran ,ibubapa serta penjaga murid tahun 6.

MESYUARAT RUMAH SUKAN 2013

Pada 16 Januari 2013, SK Temenggong Abdul Rahman 2 telah mengadakan Mesyuarat Agung Rumah Sukan yang melibatkan semua murid. Setiap rumah sukan telah menjalankan mesyuarat di tempat masing-masing, iaitu Rumah Hijau di belakang Dewan, Rumah Kuning di hadapan Dewan, Rumah  Biru di Makmal Sains dan  Rumah Merah di Bengkel Kemahiran Hidup. Murid begitu bersemangat dan telah memberi kerjasama sepenuhnya dalam pemilihan ahli jawatankuasa rumah sukan. Kerjasama murid dan guru-guru telah menyebabkan mesyuarat agung kali ini berjalan dengan lancar.


Tuesday 15 January 2013

PROGRAM PENYAMPAIAN BANTUAN AWAL PERSEKOLAHAN RM 100 TAHUN 2013










Yang Bahagia Dato' Nur Jazlan Bin Tan Sri Mohamed Rahmat telah menyampaikan sumbangan RM 100, bantuan awal persekolahan kepada murid - murid Sekolah Kebangsaan Temenggong Abdul Rahman 2 pada 16 Januari 2013 bertempat di Dewan Seri Temenggong.



PERJUMPAAN MURID TAHUN 1 2013




Monday 14 January 2013

SELAMAT DATANG GURU BARU

Seluruh warga Sekolah Kebangsaan Temenggong Abdul Rahman 2 mengalu - alukan kehadiran 3 orang guru baru sebagai warga pendidik baru di STAR 2.Mereka adalah Cik Ummi Khalidah Bt Khalid yang menggantikan Pn Zati Aqilah, Puan Wardiah Bt Salleh yang menggantikan En Zam Zam Clivon dan En Hadzir Bin Seta yang menggantikan Pn Zulfa Alhana Asmain. Semoga dengan kehadiran mereka ini imej STAR 2 akan terus gemilang dan cemerlang dalam semua bidang.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...